"Loghat" atau "bahasa" Loghat

Tiadanya syarat-syarat yang diterima umum bagi membezakan bahasa dan loghat, namun adanya beberapa paradigma yang memberikan hasil-hasil yang adakalanya bercanggahan. Justeru, pembezaan yang tepat pun tetap subjektif, iaitu terpulang pada rangka rujukan seseorang.

Kelainan bahasa selalu dipanggil loghat berbanding bahasa atas satu atau lebih sebab-sebab yang berikut:

  • semata-mata bukan bahasa bertulis (ataupun tidak diiktiraf sedemikian)
  • penutur kelainan bahasa itu tidak bernegara sendiri
  • langsung tidak atau jarang sekali digunakan dalam cetakan atau sastera
  • kelainan bahasa itu ketandusan prestij.

Ahli-ahli linguistik antropologi mentakrifkan loghat sebagai suatu bentuk bahasa tertentu yang dipakai oleh suatu komuniti perbualan. Dalam erti kata lain, perbezaan antara bahasa dan dialek ialah perbezaan antara "yang abstrak atau umum" dan "yang maujud dan khusus". Dari perspektif ini, tiada sesiapa pun yang bertutur dalam "bahasa"; sebaliknya, semuanya bertutur dalam loghat. Sesiapa yang menentukan loghat tertentu sebagai bentuk yang "baku" atau "tepat" sebenarnya sedang menggunakan kata-kata tersebut untuk meluahkan pembezaan sosial. Selalunya, bahasa baku itu lebih menyerupai sosiolek golongan elit.

Dalam kelompok-kelompok yang mana prestij itu kurang memainkan peranan, istilah "loghat" boleh digunakan cuma untuk memaksudkan kelainan setempat yang tidak ketara dalam amalan linguistik yang dianggap saling mudah difahami, memainkan peranan penting dalam mengenali seseorang serta membayangkan asal-usulnya (kawasan bandar yang mana, kampung yang mana, atau daerah yang mana); maka nampaknya terdapat banyak "loghat keabdian". Ertinya, terdapat banyak kelainan yang tidak ketara di antara penutur yang saling memahami bahasa dan menerima bahawa diri mereka bertutur "secara sama" secara amnya.

Ahli bahasa moden tahu bahawa taraf sesuatu bahasa itu bukan sahaja ditentukan oleh kriteria linguistik, malah juga merupakan hasil perkembangan sejarah dan politik. Bahasa Romansh ada bahasa bertulisnya, maka diiktiraf sebagai bahasa, biarpun agak serupa bunyinya dengan loghat-loghat Alp Lombard. Lain pula dengan bahasa Cina, yang bentuk-bentuk kelainannya termasuk bahasa Mandarin dan Kantonis sering dianggap sebagai dialek dan bukan bahasa sungguhpun saling tidak boleh difahami semata-mata kerana semuanya berkongsi piawaian penulisan dan badan kesusasteraan.